PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini berada di landasan terbaik untuk memburu gelaran sulung musim 2026 selepas mengesahkan tiket ke final Kejohanan Badminton Indonesia Masters, semalam.
Status selaku juara dunia diterjemahkan gandingan No. 4 dunia itu apabila menyingkirkan beregu No. 2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-12 di pentas separuh akhir dalam tempoh 33 minit di Istora Senayan, Jakarta.
Keputusan itu bukan sahaja menghadiahkan slot final, malah menyuntik keyakinan tinggi apabila mereka berjaya merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 3-5 menentang Zhen Bang-Ya Xin.
Pencapaian ke final turut menjadi pengubat duka buat gandingan negara itu selepas mengharungi permulaan musim yang agak perlahan tahun ini apabila terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka India, minggu lalu.
Di pentas final hari ini, Tang Jie-Ee Wei yang dalam misi memburu gelaran kelima karier mereka di pentas Jelajah Dunia dijadual bertemu gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje bagi penentuan gelaran juara.
Sementara itu, hasrat pemain perseorangan wanita No. 1 negara, K. Letshanaa untuk menjejak kali ke final tidak kesampaian apabila tumpas 15-21, 17-21 kepada pemain Thailand, Pitchamon Opatniputh di separuh akhir.
Letshanaa yang menghuni ranking ke-42 dunia itu tunduk straight set kepada Opatniputh yang berada di tangga No. 36 dunia.
Walaupun tewas, Letshanaa mempamerkan peningkatan yang baik di bawah bimbingan jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sejak Oktober tahun lalu.
Diharapkan pemain berusia 22 tahun itu akan terus mengekalkan rentak permainan yang lebih konsisten pada kejohanan akan datang.
Sasaran berada dalam kelompok 32 terbaik yang diletakkan Iskandar wajib dicapai Letshanaa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Justeru, anak jati Selangor itu perlu terus beraksi baik dan melangkah lebih jauh bagi menokok mata rankingnya.
Mara ke separuh akhir pada kejohanan Super 500 satu permulaan positif untuk Letshanaa dan sekali gus membuka laluan kepadanya menyertai pertandingan lebih tinggi seperti Super 750 selepas ini.-UTUSAN










