Petronas berdepan lonjakan kos insurans, logistik jika konflik berlarutan - Utusan Malaysia

Petronas berdepan lonjakan kos insurans, logistik jika konflik berlarutan

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dijangka berdepan peningkatan kos insurans serta logistik sekitar 15 hingga 30 peratus sekiranya konflik geopolitik berterusan walaupun sebahagian tekanan kos itu boleh diimbangi dengan harga minyak global yang lebih tinggi.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, secara realistik, premium insurans perkapalan boleh meningkat sekitar 20 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh ketegangan geopolitik yang tinggi.

“Dalam beberapa episod konflik sebelum ini di Asia Barat, premium tersebut pernah melonjak lebih tinggi dalam masa yang singkat apabila risiko serangan terhadap kapal tangki meningkat.

“Pada masa sama, kos logistik dan penghantaran tenaga, termasuk pengangkutan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) boleh meningkat sekitar 10 peratus hingga 25 peratus.

“Ini bergantung kepada keadaan pasaran perkapalan global, kadar sewaan kapal tangki serta kemungkinan penggunaan laluan alternatif yang lebih jauh bagi mengelakkan zon konflik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, secara struktur, segmen huluan syarikat minyak dan gas negara itu masih menjadi penyumbang keuntungan terbesar.

Menurutnya, dalam keadaan harga minyak meningkat, tambahan hasil daripada pengeluaran biasanya cukup signifikan untuk menyerap sebahagian tekanan kos di segmen hiliran.

“Namun begitu, dalam keadaan tersebut, peningkatan keuntungan daripada segmen huluan hanya mampu mengimbangi tekanan kos dan tidak semestinya menghasilkan lonjakan keuntungan yang besar.

“Kenaikan harga minyak mentah susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran juga secara asasnya memberi kelebihan kepada Petronas kerana memperoleh sebahagian besar keuntungan daripada segmen huluan, iaitu pengeluaran minyak dan gas.

“Apabila harga minyak meningkat, margin keuntungan bagi setiap tong pengeluaran turut meningkat.

“Namun begitu, manfaat itu tidak sepenuhnya ‘bersih’ kerana ketegangan geopolitik turut menambah kos di sepanjang rantaian nilai tenaga, termasuk kos pengangkutan, insurans perkapalan, penapisan, dan logistik,” ujarnya.

Beliau berkata, ini bermakna Petronas mungkin mencatat hasil lebih tinggi, tetapi pada masa sama perlu menghadapi tekanan kos operasi yang lebih besar.

Mengulas mengenai jangkaan prestasi kewangan Petronas tahun ini, beliau berkata, Jika harga minyak kekal tinggi dalam tempoh lebih lama, prestasi kewangan Petronas dijangka kekal kukuh dari segi pendapatan dan aliran tunai.

“Walau bagaimanapun, keuntungan bersih mungkin tidak meningkat secara dramatik kerana syarikat perlu menanggung kos operasi global yang lebih tinggi serta komitmen pelaburan dalam projek tenaga baharu dan peralihan tenaga.

“Dalam kata lain, harga minyak tinggi akan membantu mengekalkan prestasi Petronas, tetapi ketidaktentuan geopolitik menjadikan prospek keuntungan lebih sederhana berbanding lonjakan harga minyak itu sendiri,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×