PETALING JAYA: Iran mengemukakan tiga syarat utama yang perlu dipenuhi jika mahu menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Tiga syarat tersebut ialah pengiktirafan terhadap hak sah Iran, pembayaran pampasan serta jaminan antarabangsa yang tegas bagi menghalang pencerobohan pada masa hadapan.
Pada masa sama, negara itu memberi amaran dunia perlu bersedia berdepan harga minyak mencecah AS$200 setong susulan penutupan Selat Hormuz sejak minggu lalu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, Teheran kekal komited terhadap keamanan serantau, namun penyelesaian konflik hanya boleh dicapai sekiranya hak Iran dihormati.
“Bercakap dengan pemimpin Russia dan Pakistan, saya menegaskan semula komitmen Iran terhadap keamanan di rantau ini.
“Satu-satunya cara untuk menamatkan perang yang dicetuskan oleh rejim Zionis dan Amerika Syarikat ialah dengan mengiktiraf hak sah Iran, pembayaran pampasan serta jaminan antarabangsa yang kukuh bagi menghalang pencerobohan pada masa depan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Pezeshkian sebelum itu menerima panggilan telefon daripada Presiden Russia, Vladimir Putin bagi membincangkan kerjasama dua hala serta perkembangan terkini di rantau berkenaan.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai pendirian rasmi Teheran mengenai syarat gencatan senjata ketika konflik di Asia Barat terus memuncak dan memasuki minggu kedua.
Dalam perkembangan berasingan, Pezeshkian menegaskan komuniti antarabangsa perlu mengecam apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan jenayah oleh AS dan Israel terhadap Iran melalui forum antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan ancaman keselamatan di Selat Hormuz berpunca daripada serangan AS dan Israel terhadap negara tersebut.
Menurutnya, masalah terhadap perkapalan di Teluk Parsi adalah akibat tindakan agresif Washington yang menggugat kestabilan serantau dan masyarakat antarabangsa perlu meletakkan tanggungjawab itu terhadap AS.
“Semua kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengecam pencerobohan ketenteraan dan pelanggaran undang-undang yang terang-terangan itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran.
Dalam pada itu, jurucakap perintah tentera Iran, Ebrahim Zolfaqari mengingatkan dunia supaya bersedia berdepan lonjakan harga minyak sehingga AS$200 setong ketika negaranya menyerang kapal dagang.
“Bersedialah untuk minyak menjadi AS$200 setong kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau yang telah anda hancurkan,” katanya.
Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mencadangkan pelepasan besar-besaran rizab strategik bagi meredakan salah satu kejutan harga minyak terburuk sejak 1970-an.
Konflik yang tercetus susulan serangan udara bersama AS dan Israel hampir dua minggu lalu setakat ini dilaporkan mengorbankan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya warga Iran dan Lubnan selepas pertempuran turut merebak ke negara itu.
Ketegangan tersebut juga menjejaskan pasaran tenaga dan pengangkutan global apabila pergerakan kapal tangki melalui laluan laut penting di sepanjang sempadan selatan Iran merosot ketara susulan ancaman Teheran untuk menyerang kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.
Harga minyak mentah global dilaporkan terus melonjak berikutan gangguan terhadap perdagangan tenaga serta kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya krisis bekalan minyak dan gas di peringkat antarabangsa.-UTUSAN










