BARCELONA: Barcelona terus mengukuhkan masa depan pasukan apabila mengumumkan lanjutan kontrak pemain tengah muda berbakat, Fermin Lopez selama dua tahun sehingga 2031.
Kelab gergasi Sepanyol itu dalam satu kenyataan berkata, Lopez bersetuju untuk melanjutkan dan menambah baik kontraknya sehingga 30 Jun 2031, dengan perjanjian rasmi dijangka dimeterai dalam beberapa hari lagi.
Pemain berusia 22 tahun itu kini menjadi antara tonggak penting skuad utama Barcelona sejak membuat penampilan sulung pada musim 2023/2024.
Sepanjang tempoh tersebut, Fermin telah merekodkan 113 penampilan dan menjaringkan 29 gol, sekali gus membuktikan peranannya sebagai pemain tengah yang konsisten dan berpengaruh.
Prestasi cemerlangnya turut menyaksikan dia menjadi pemain tetap dalam skuad kebangsaan Sepanyol serta memainkan peranan dalam kejayaan pasukan itu menjuarai Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
Fermin menyertai senarai pemain utama Barcelona yang telah menandatangani lanjutan kontrak sepanjang tahun lalu, termasuk bintang muda sensasi, Lamine Yamal, selain Raphinha, Gavi, Pedri dan Pau Cubarsi.
Pemain itu kini memberi tumpuan untuk membantu pasukan kendalian Hansi Flick melebarkan jurang di puncak liga apabila Barcelona berdepan Elche, hari ini. – AFP










