Keracunan makanan tidak halang kemaraan Soon Huat-Shevon

Keracunan makanan tidak halang kemaraan Soon Huat-Shevon

PASANGAN beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai berswafoto dengan peminat selepas meraih kemenangan ke atas wakil Taiwan, Wu Guan Xun dan Lee Chia Hsin pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, semalam Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 2 negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai masih mampu melakar kemenangan ke atas Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam biarpun mengalami keracunan makanan dan selesema.

Pasangan No. 9 dunia itu mengambil masa selama 56 minit untuk menyingkirkan wakil Taiwan yang menghuni ranking ke-38 dunia 15-21, 21-19, 21-14 dan pada pusingan kedua, hari ini, Soon Huat-Shevon bakal berdepan beregu Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai yang berada di tangga ke-32 dunia.

Sewaktu berkongsi khabar tentang kesihatan dia dan isterinya, Soon Huat berkata, isu tersebut telah menjadi punca mereka bergelut untuk mendapatkan rentak permainan terutama ketika di set pertama.

“Perlawanan memang agak sengit disebabkan keadaan kesihatan pasangan saya yang tidak berapa bagus, jadi, sejak set pertama lagi kita masih mencari momentum dan rentak permainan lebih-lebih pasangan Taiwan ini merupakan beregu baharu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Justeru, Soon Huat berkata, dia dan isterinya, Shevon agak lambat untuk membaca hantaran bulu tangkis yang dilakukan lawan.

“Walaupun kita kalah set pertama, tapi kita masih berusaha mencari jalan untuk mengatasi lawan dan dalam masa sama saya juga perlu lindung pasangan saya.

“Shevon mungkin kena keracunan makanan, dia muntah-muntah, semalam. Saya sendiri tak dapat tidur semalaman sebab jaga Shevon, jadi, hari ini kami agak letih sikit,” kata Soon Huat yang turut mengalami selesema.

Ketika ditanya punca keracunan makanan itu berlaku, Soon Huat berkata, ia mungkin terjadi disebabkan daripada pengambilan makanan di luar.

Mengulas pula mengenai pencabar mereka di pusingan kedua, pemain berusia 35 tahun itu berkata, mereka memiliki kelebihan psikologi berdepan gandingan Amerika Syarikat tersebut selepas pernah menewaskan beregu yang sama pada Terbuka Malaysia, tahun lalu di pusingan pertama.

“Kita pernah jumpa beregu Amerika Syarikat itu, jadi, kita memang lebih yakin sikit. Bermain di laman sendiri memberi suntikan semangat untuk terus berjuang walaupun ketinggalan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN