ALOR SETAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan berhati-hati dengan menunggu laporan terperinci sebelum mengeluarkan sebarang pendirian berhubung kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sebarang komen atau tindakan hanya akan dibuat selepas kementerian memperoleh maklumat lengkap termasuk keputusan serta perkembangan terkini berkaitan isu tersebut.
“Saya perlu menunggu dahulu laporan yang terperinci sebelum mengeluarkan apa-apa komen pendirian daripada KBS. Kita tunggu dan lihat bagaimana perkembangan selanjutnya sebelum saya boleh memberikan komen yang lebih lanjut,” katanya.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa barisan Exco FAM bersedia untuk melepaskan jawatan, namun perkembangan terbaharu pula sebaliknya berlaku apabila ada segelintir barisan kepimpinan badan induk itu enggan berbuat demikian.
Menurut Mohammed Taufiq, KBS sentiasa memantau setiap isu yang berbangkit melibatkan persatuan-persatuan sukan di negara ini dan bukan hanya tertumpu kepada FAM semata-mata.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian tidak akan mencampuri mana-mana proses yang berada di luar bidang kuasa, selaras dengan prinsip pemisahan kuasa yang perlu dihormati.
“Pemisahan kuasa ini amat penting. Sebab itu saya perlu melihat, menunggu laporan dan keputusan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut. Kita tidak akan mengganggu proses yang bukan dalam bidang kuasa kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq menekankan kepentingan memastikan pembangunan bola sepak negara tidak terjejas, memandangkan sukan itu merupakan medium penting penyatuan rakyat.
“Kita akan terus memastikan bola sepak ini menjadi wadah perpaduan rakyat. Bola sepak adalah sukan yang amat diminati oleh rakyat secara keseluruhannya dan pembangunan sukan ini tidak boleh terhenti atau diganggu-gugat,” ujarnya.
Tambah beliau, KBS akan terus meneliti setiap isu berkaitan sukan termasuk bola sepak, namun dalam batas dan garis kuasa yang telah ditetapkan.
“Apa pun yang berlaku, saya berharap sukan khususnya bola sepak akan terus maju, mara ke hadapan dan kekal sebagai sukan yang digemari serta mendapat sokongan penuh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, KBS sentiasa bersedia membantu dalam apa jua aspek yang berada di bawah bidang kuasa kementerian demi memastikan kelangsungan dan kemajuan sukan negara.-UTUSAN










