PETALING JAYA: Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mempamerkan aksi tidak konsisten apabila tersingkir pada pusingan pertama di Terbuka India, semalam.
Kekalahan itu menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi gandingan No.3 dunia itu di kejohanan antarabangsa selepas menyandang status juara dunia sejak Ogos tahun lalu.
Dalam aksi pusingan pertama Terbuka India itu, Tang Jie-Ee Wei tumpas kepada pasangan No.16 dunia dari China, Cheng Xing–Zhang Chi dalam aksi straight set 16-21,19-21.
Pasangan China itu memanfaatkan setiap kelemahan taktikal pasangan negara, sekali lagi menimbulkan keraguan tentang kemampuan mereka mengekalkan prestasi cemerlang.
Tang Jie selepas perlawanan itu menekankan kepentingan untuknya dan Ee Wei mencari semula rentak permainan bagi memastikan momentum tidak mudah hilang di gelanggang.
“Kami sudah beri yang terbaik, tetapi fokus utama sekarang ialah untuk mendapatkan kembali keyakinan dan menstabilkan pelan permainan di gelanggang,” kata Tang Jie.
Bagaimanapun, kekalahan itu turut berpunca daripada pasangan China yang tampil lebih bersedia dengan permainan kemas dan konsisten.
“Ya, mereka bermain dengan baik untuk memenangi perlawanan, dan kami perlu cari kembali rentak permainan sendiri untuk bangkit selepas ini,” katanya.
Pada Terbuka Malaysia minggu lalu, Tang Jie-Ee Wei gagal mempersembahkan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri apabila tewas kepada beregu Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet, 17-21, 21-17, 10-21 di suku akhir.
Pasangan negara seterusnya akan berlepas ke Istora Senayan, Jakarta untuk menghadapi Indonesia Masters bagi memperbaiki keputusan edisi lalu yang hanya mara ke suku akhir.-UTUSAN










