‘Hanya kongsi resipi yang sedap dan menjadi’

‘Hanya kongsi resipi yang sedap dan menjadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI 2.8 juta pengikut di TikTok, ramai mungkin tidak mengetahui bagaimana Hamdan Sh. Mubarak, 30, bermula sebagai seorang pencipta kandungan masakan yang kini dikenali di seluruh Malaysia.

Menurut Hamdan, pada awalnya dia tidak berniat untuk menjadi pembuat kandungan, lebih-lebih lagi berkongsi video masakan hasil air tangannya sendiri.

Segalanya bermula pada tahun 2020, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, memaksanya pulang ke kampung halamannya di Melaka.

Di kampung, aktivitinya hanyalah membantu abangnya sebagai juruvideo, sementara ibunya memasak untuk tontonan pengikut media sosial secara suka-suka.

“Selama dua bulan membantu ibu, saya terfikir untuk membuat kandungan sendiri berlandaskan masakan, dengan fokus kepada TikTok.

“Selepas enam bulan kerap memuat naik video, akhirnya kandungan saya berjaya muncul di halaman utama penonton,” katanya.

Kejayaan itu menarik lebih ramai penonton, sekaligus mendorong Hamdan untuk terus menghasilkan video masakan dan menambah pengikutnya.

BELAJAR MEMASAK

Hamdan mengakui dia bukan mahir dalam bidang kulinari. Setiap kali ingin membuat menu yang belum pernah dicuba sebelum ini, dia akan mempelajarinya terlebih dahulu.

Tujuannya ialah untuk memastikan maklumat yang dikongsi kepada penonton adalah tepat dan masakan dihasilkan sedap seperti yang dijanjikan.

“Kalau kita nak kongsi resipi dengan orang ramai, pastikan ia benar-benar menjadi dan sedap,” katanya.

Seiring dengan namanya yang semakin dikenali, Hamdan mula menerima tawaran daripada syarikat dan restoran untuk mengulas menu atau produk berkaitan makanan. Daripada situ, dia memperoleh sekitar 80 peratus pendapatan daripada kerjasama tersebut.

RUMAH JADI STUDIO

Awal penghasilan video masakan Hamdan tidak dilakukan di studio profesional. Segalanya bermula di rumahnya sendiri. Tanpa pembantu, dia menguruskan kamera, pencahayaan, bahan-bahan masakan dan penggambaran sendiri selain kelengkapan yang dimiliki juga terbatas kerana kekangan bajet.

“Pencahayaan bergantung kepada cahaya matahari. Kalau hujan, saya terpaksa menunda penggambaran.

“Kadang-kadang bunyi bising dari jiran, seperti memotong rumput, mengganggu rakaman,” katanya.

Menurut Hamdan, membuat video masakan bukan mudah. Jika memasak sahaja mungkin mengambil masa 30 minit, tetapi dengan proses merakam video, ia boleh mengambil dua hingga tiga jam.

KANDUNGAN BERKUALITI

Hamdan menekankan untuk mengekalkan pengikut dan menaikkan jumlah tontonan, dia akan terus menumpukan kepada video masakan atau ulasan makanan.

“Kalau tiba-tiba saya alihkan topik kepada perkara lain, pengikut dan tontonan akan merundum,” katanya.

Dia juga menegaskan prinsipnya sebagai pengulas makanan yang bertanggungjawab. Sebelum bersetuju bekerjasama dengan mana-mana pihak, Hamdan akan memastikan makanan yang diulas benar-benar layak diperkenalkan kepada orang ramai.

“Jika sesuatu makanan itu biasa sahaja dan tidak istimewa, saya tidak mahu menjadi pengulas yang menipu,” katanya.

RANCANGAN MASA DEPAN

Untuk bulan Ramadan tahun ini, Hamdan merancang menghasilkan antara 30 hingga 40 video masakan bagi memenuhi permintaan pengikutnya.

Video-video tersebut bukan sahaja menampilkan masakan tempatan, malah masakan dari luar negara.

Dengan rezeki yang semakin meningkat dan nama kian dikenali, dia turut bercita-cita membuka perniagaan berkaitan produk makanan dan minuman pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×