Hamidin layak kembali pimpin FAM

Hamidin layak kembali pimpin FAM

Tan Sri Hamidin Mohd Amin (kanan) kini disebut-sebut bakal kembali terajui FAM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini memerlukan individu seperti Tan Sri Hamidin Mohd Amin bagi mengemudi badan induk bola sepak itu, khususnya ketika sedang dilanda badai.

Perlu diakui, Hamidin memiliki pengaruh besar di peringkat Asia dan juga antarabangsa, sekali membuktikan beliau merupakan individu tepat untuk kembali menjadi presiden FAM.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, Hamidin masih memiliki pengaruh besar di peringkat antarabangsa melalui hubungan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). 

“Tan Sri Hamidin dilihat antara individu sesuai untuk kembali memainkan peranan penting kerana beliau masih mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam AFC dan FIFA.

“Pengalaman luas yang dimilikinya, termasuk pemahaman mendalam terhadap isu sebenar yang sedang berlaku, meletakkan beliau sebagai individu yang tahu selok-belok situasi dan mampu mencari jalan terbaik buat FAM jika diberi peluang untuk membuat kemunculan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kongres FAM dijangka diadakan tahun ini berikutan kekosongan kerusi Presiden selepas Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meletakkan jawatan sejak Ogos tahun lalu, dengan Datuk Mohd Yusoff Mahadi memangku sementara jawatan tersebut. 

Pemilihan pada kongres kali ini dijangka turut melibatkan semua jawatan lain kerana barisan jawatankuasa sedia ada difahamkan akan melepaskan jawatan masing-masing.

Pemerhati bola sepak tempatan dan juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar pula menyifatkan Hamidin sebagai tokoh paling layak untuk kembali menduduki kerusi No.1 FAM. 

Azlan juga yakin kepulangan Hamidin mampu menstabilkan pentadbiran FAM dan memberi fokus semula kepada pembangunan bola sepak tanah air.

“Saya percaya Tan Sri Hamidin adalah antara individu yang paling layak untuk kembali memainkan peranan dalam FAM. Beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak di peringkat tempatan, malah hubungan beliau dengan FIFA dan AFC.

“Beliau mampu memberi panduan strategik, menyatukan pihak berkepentingan, serta membuka peluang agar Malaysia terus dihormati dan mempunyai suara yang kuat di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Hamidin sebelum ini pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2018 hingga 2025. Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam badan induk bola sepak negara, termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa (1995–2010), Naib Presiden (2010–2013) dan Setiausaha Agung (2013–2018).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN