PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia melepaskan jawatan secara ‘berjemaah’ jika langkah drastik itu menjadi pilihan terbaik bagi mengelakkan badan induk bola sepak negara digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkembangan itu disahkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang menjelaskan cadangan berkenaan antara pilihan serius yang sedang dipertimbangkan selepas pertemuan bersama exco, semalam.
Menurut Mohd. Yusoff, FAM mengambil maklum kenyataan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memaklumkan bahawa situasi melibatkan badan induk itu kini dipantau rapi oleh FIFA, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kepimpinan sedia ada.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini tiada lagi mana-mana exco yang meletakkan jawatan dan perbincangan masih berjalan, dengan satu lagi mesyuarat dijadualkan diadakan bagi memuktamadkan keputusan terbaik.
“Kita memanggil semua EXCO yang sempat hadir untuk berbincang mengenai hala tuju FAM susulan kenyataan AFC. Semua pandangan diambil kira kerana keutamaan kita adalah memastikan bola sepak negara terus terpelihara,” kata Mohd. Yusoff.
Jelas Mohd. Yusoff, beberapa pilihan sedang diteliti termasuk langkah pengunduran secara beramai-ramai, dengan tujuan mengurangkan risiko penggantungan FIFA tanpa perlu menunggu keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Kita tidak mahu berlengah. Kita ada dua atau tiga pilihan dan salah satunya adalah meletakkan jawatan.Kalau itu keputusan terbaik, kita bersedia membuat keputusan secara sebulat hati kerana kita bersatu sebagai EXCO,” katanya.
Situasi itu meletakkan FAM dalam keadaan sukar, namun kesediaan kepimpinan tertinggi untuk berkorban demi kepentingan bola sepak negara dilihat sebagai langkah luar biasa dalam usaha memastikan Liga Malaysia dan pasukan kebangsaan tidak menerima kesan lebih besar.-UTUSAN










