PETALING JAYA: Aksi Liga Super 2025/26 antara Selangor FC menentang DPMM FC di Stadium Hassanal Bolkiah malam ini menjadi ujian pertama Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu skuad Gergasi Merah.
Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, perlawanan sulung Pan Gon dianggap ujian awal dalam menilai kemampuan jurulatih kelahiran Korea Selatan yang juga bekas pengendali Harimau Malaya itu.
“Kami mengharapkan permulaan positif. Sasaran pasukan jelas iaitu membawa pulang tiga mata bagi menaikkan moral pemain dan membina momentum awal di bawah kendalian baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mahfizul berkata, skuad Gergasi Merah masih mempunyai misi penting yang perlu dicapai, termasuk memberikan saingan terbaik dalam Piala Malaysia serta memburu sasaran layak ke kejohanan peringkat Asia.
“Pihak pengurusan mengharapkan Pan Gon dapat menggunakan sepenuhnya pengalaman luas beliau untuk membentuk pasukan yang lebih stabil, berdaya saing dan konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” jelasnya.
Selangor FC kini giat memperkemaskan persiapan pasukan dengan fokus meningkatkan prestasi keseluruhan, selari dengan aspirasi pengurusan untuk melihat kelab kembali menjadi pencabar utama di pentas domestik dan serantau.
“Dalam jangka masa terdekat, secara strategik Pan Gon boleh memantau prestasi pasukan dan mempertingkatkan taktikal permainan secara keseluruhan,” jelasnya.
Sebelum ini, skuad Lembah Klang itu dalam satu kenyataan mengumumkan perlantikan pengendali berusia 56 tahun itu sebagai ketua jurulatih Selangor FC bagi mengharungi baki Liga Super musim ini serta kempen Piala Malaysia 2025/2026 yang bakal membuka tirai pada 17 Januari ini.
Selain Pan Gon, Selangor dijangka turut menurunkan pemain import baharu, Mahame Siby bagi mengemudi jentera tengah pasukan ketika bertemu wakil Brunei itu nanti.-UTUSAN










