Aidilfitri: Hentian Bas MBKT jadi tumpuanbeli tudung

Aidilfitri: Hentian Bas MBKT jadi tumpuan beli tudung

KHALIL Muhamad (kanan) melayan pelanggan membeli tudung di kedainya di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/ ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menje­lang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang sebelum ini suram kembali meriah apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai keperluan terutama tudung.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung terutama wanita mengambil peluang mendapatkan tudung sebagai pelengkap busana raya manakala golongan lelaki pula membeli pakaian seperti kemeja-T dan seluar yang dijual di gerai sekitar hentian bas itu.

Seorang peniaga tudung, Khalil Muhammad, 42, berkata, lokasi itu menjadi tumpuan orang ramai setiap kali menjelang musim perayaan kerana menawarkan pelbagai pilihan tudung pada harga berpatutan.

Dia adalah generasi ketiga dalam keluarganya yang menjalankan perniagaan itu sejak 2018 bersama ibunya, Halimah Maidin, 70.

“Menjelang Aidilfitri, suasana di sini memang lebih meriah kerana ramai pelanggan datang mencari tudung baharu untuk dipakai pada hari raya.

“Saya biasanya berniaga dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan minggu ini kami membuka gerai pada hari Jumaat kerana permintaan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Khalil, promosi yang dibuat menerusi platform media sosial turut membantu menarik lebih ramai pelanggan datang ke gerainya, terutama pada hujung minggu dan ketika cuti persekolahan sebelum Ramadan baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga, Saudah Salleh, 65, berkata, dia berniaga tudung di kawasan itu sejak 30 tahun lalu dan masih menerima sambutan baik daripada pelanggan setia.

Katanya, menjelang Aidilfitri, gerainya turut dibuka pada hari Jumaat bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan tudung pilihan masing-masing.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Noorshairah Azmi, 34, berkata, dia sering ke kawasan tersebut untuk membeli tudung kerana terdapat pelbagai pilihan dengan harga yang berpatutan.

“Sejak dulu lagi saya memang datang ke sini untuk beli tudung. Pilihannya banyak dan mudah untuk cari yang sesuai dengan baju raya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×