Derbi Manchester ujian pertama Carrick

Derbi Manchester ujian pertama Carrick

MICHAEL CARRICK-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Derbi Manchester di Old Trafford, malam ini menjadi ujian getir buat Michael Carrick yang bakal mengemudi Manchester United buat kali pertama sebagai pengurus sementara.

United ketika ini menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya meraih satu kemenangan daripada enam aksi liga terakhir, selain tersingkir awal daripada Piala FA, sekaligus memaksa kelab bertindak drastik menamatkan khidmat Ruben Amorim.

Namun, kehadiran Carrick, figura yang cukup sinonim dengan kestabilan di bilik persalinan United, sekurang-kurangnya menyuntik sedikit harapan kepada penyokong The Red Devils yang dahagakan perubahan segera.

Cabaran pertamanya bukan calang-calang apabila perlu merangka strategi menentang sentuhan taktikal Pep Guardiola, dengan Manchester City kekal mencabar kejuaraan di tangga kedua liga, enam mata di belakang Arsenal, meskipun melalui fasa tiga keputusan seri berturut-turut.

United menerima suntikan moral apabila Harry Maguire kembali cergas, manakala Bryan Mbeumo dan Amad Diallo sudah pulang daripada tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), sekali gus menambah variasi dalam skuad yang sebelum ini ketandusan pilihan.

City pula hadir ke Old Trafford dengan cerita kebangkitan tersendiri selepas membawa masuk Antoine Semenyo yang pantas mencuri tumpuan selepas meledak dua gol dalam dua perlawanan, diiringi sorakan khas penyokong Etihad yang memberi dimensi baharu kepada jentera serangan Guardiola.

Walaupun tiga keputusan seri sedikit menjejaskan momentum liga, City mempamerkan tanda kebangkitan menerusi kemenangan besar 10-1 ke atas Exeter City dalam Piala FA, selain menyingkirkan Newcastle United 2-0 pada separuh akhir Piala Liga, Selasa lalu.

Guardiola bagaimanapun berharap kepulangan Omar Marmoush daripada AFCON mampu mengurangkan beban Erling Haaland yang dilihat semakin keletihan.

“Mudah-mudahan Omar kembali tidak lama lagi untuk memberi rehat kepada Erling kerana Erling berada dalam keadaan keletihan,” kata Guardiola.

Haaland masih mendahului carta penjaring EPL dengan 20 gol, namun penyerang Norway itu belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka sejak kemenangan 3-0 ke atas West Ham United pada 20 Disember lalu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN