LONDON: Bayern Munich mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan penyerang utama, Harry Kane berhubung lanjutan kontrak susulan prestasi cemerlang pemain itu sejak menyertai kelab gergasi Jerman pada 2023.
Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl berkata, perbincangan dengan kapten England itu sedang berlangsung dan keputusan akan dibuat pada masa yang sesuai.
“Kami sedang berbincang dengan Harry. Semua orang tahu pada satu ketika, keputusan perlu dibuat,” katanya.
Kane, 32, menyertai Bayern daripada Tottenham Hotspur pada Ogos 2023 menerusi kontrak empat tahun dengan nilai perpindahan awal mencecah 100 juta euro (RM471 juta).
Penyerang prolifik itu turut menikmati kejayaan besar apabila membantu Bayern menjulang kejuaraan Bundesliga musim 2024-25, sekali gus menghadiahkan trofi utama pertama dalam karier profesionalnya.
Musim ini, Kane menjaringkan 34 gol dalam 30 perlawanan, termasuk 21 gol dalam 19 aksi Bundesliga, ketika dia cuba memecahkan rekod bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski yang menjaringkan 41 gol dalam satu musim liga. – AGENSI










