Arif-Roy King intai slot ke Piala Thomas

Arif-Roy King intai slot ke Piala Thomas

Arif Junaidi-Yap Roy King masih berpeluang untuk membarisi skuad Piala Thomas negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 17 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King menyimpan impian untuk tersenarai dalam skuad Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark pada, April depan.

Bagaimanapun, impian itu nampak sukar kerana persaingan sengit dalam kategori beregu lelaki menyukarkan laluan Arif-Roy King.

Arif berkata, apa yang menjadi cabaran besar buat mereka sekarang ialah untuk bersaing dengan tiga beregu utama yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Kedudukan kami adalah di tangga keempat, sebab di atas kami ada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin (Mohd Rumsani) dan atas lagi Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula sudah tentu bakal mengetuai cabaran Piala Thomas sebagai beregu utama, mungkin kita kena buktikan menerusi tiga kejohanan pertama yang kami sertai ini,” katanya.

Piala Thomas/Uber bakal membuka tirai kejohanan pada 24 April hingga 3 Mei depan dan Arif-Roy King hanya mempunyai masa beberapa bulan bagi memperbaiki ranking semasa mereka.

Dengan Sze Fei-Izzuddin selaku beregu No. 3 Malaysia kini menghuni ranking No. 7 dunia, Arif-Roy King berdepan cabaran besar untuk mengejar kedudukan kelompok 10 terbaik dunia.

Arif berkata, untuk kejohanan akan datang, mereka perlu mempamerkan persembahan yang lebih baik untuk mendapat keputusan yang bagus.

“Kami belum pernah beraksi di pentas Piala Thomas, ini kali pertama jika diberi peluang. Sasaran kami, mungkin sekurang-kurangnya perlu cipta kejutan ke atas beregu handalan dunia,” katanya.

Selepas Terbuka Malaysia, Arif-Roy King akan terbang ke New Delhi bagi menyertai Terbuka India yang berstatus Super 750, Selasa ini, dengan misi memburu mata ranking sebanyak mungkin.

Menurut Arif, mereka dijadual bertemu wakil Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami dan enggan terlalu yakin walaupun pernah menewaskan beregu ke-35 dunia itu.

“Kita tak nak terlalu yakin. Kita kena jaga-jaga juga sebab mungkin dia pun ada selidik permainan kita, jadi, penting untuk fokus kepada diri sendiri,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN