AFC sedia bantu FAM

AFC sedia bantu FAM

WINDSOR PAUL JOHN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersedia membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membetulkan kelemahan urus tadbir, jika benar barisan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu melepaskan jawatan pada 28 Januari ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan, keputusan kini sepenuhnya di tangan FAM sama ada mengambil langkah drastik dengan berundur secara kolektif bagi membuka laluan pembaharuan bersama sokongan AFC, atau terus ‘berdiam diri’ sehingga tindakan susulan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Mungkin ini satu topik yang akan dibincangkan Exco FAM kerana keputusan di tangan mereka jika mereka ingin mengambil risiko penggantungan FIFA dan selepas penggantungan, satu jawatankuasa normalisasi (akan ditubuhkan).

“Ataupun mereka secara proaktif boleh membuat satu penghitungan strategik supaya ekosistem bola sepak Malaysia tidak terganggu sekiranya FAM digantung.

“Jadi untuk tidak melalui satu proses penggantungan, FAM mungkin mengambil satu keputusan strategik dengan meminta bantuan daripada AFC supaya satu pembaharuan dapat dijalankan, bermaksud memperbaiki urus tadbir FAM jika terdapat apa-apa kelemahan dalam FAM sekarang.

“Jika diminta bantuan, memang kita bersedia untuk membantu sebab kita pernah membuat perkara seperti ini dengan persatuan lain,” kata Windsor.

Windsor turut mengakui FAM sememangnya ada meminta bantuan daripada AFC dan beberapa perkara telah dibincangkan namun segalanya terpulang kepada badan induk bola sepak negara itu.

Jelasnya, AFC sentiasa bersedia membantu mana-mana persatuan yang memerlukan bantuan daripada mereka dan perkara sama dilakukan di beberapa negara sebelum ini.

“FAM memang ada minta dan AFC sudah pun memaklumkan kepada FAM bahawa AFC sentiasa bersedia untuk membantu.

“Perbincangan itu memang berlaku untuk semua persatuan dan bukan sahaja FAM. Kita sentiasa mengambil langkah proaktif untuk berbincang dengan mana-mana persatuan yang memerlukan bantuan daripada AFC.

“Ini adalah satu langkah sementara dan jika AFC diminta untuk membantu, kita akan menghantar konsultan dan juga kakitangan daripada AFC yang kita pernah buat dengan Iraq, Syria, Pakistan, India dan banyak lagi negara.

“Kita sudah membantu banyak negara membuat satu penilaian dan membantu persatuan itu menganjurkan kongres selepas beberapa bulan,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia, semalam melaporkan barisan Exco FAM dijangka meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada 28 Januari ini dan akan memberi ruang kepada AFC untuk ‘membersihkan’ badan induk tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN