Abu Bakar sedia terajui PFA

Abu Bakar sedia terajui PFA

Abu Bakar Hamzah (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bersedia memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak di negeri ini.

Menurut Abu Bakar, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan beberapa perkara dalam mengangkat semula kemajuan sukan itu di Perlis.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kemungkinan berlakunya rombakan dalam PFA bagi mencari penyelesaian melibatkan beberapa isu berbangkit sejak 2019 lagi.

“Kita boleh mendaftar pasukan baharu dan bukan menggunakan nama Perlis tapi sampai bila?. Lebih baik kita kekalkan nama Perlis walaupun kita tahu ada kos tertentu perlu diselesaikan.

“Bila berjumpa (FAM), banyak perkara baharu kita boleh rancang demi kemajuan bola sepak Perlis,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) di Kompleks Seri Putra, di sini, semalam.

Ujar Abu Bakar, jawatankuasa PFA sedia ada juga setakat ini dilihat masih belum mengadakan sebarang mesyuarat walaupun sudah mencapai tempoh dua tahun.

“Kita juga akan umumkan, kalau tak ada keberatan, saya sendiri akan jadi Presiden PFA. Penggantunggan sebelum ini melibatkan isu kewangan di mana ada pemain import membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Susulan itu, FIFA juga memberi kata dua kepada FAM sama ada mahu gantung Perlis atau mereka yang akan digantung. Jadi FAM gantung Perlis tapi dalam masa sama, masih ada lagi cara untuk dilihat balik,” katanya.

Menurut Abu Bakar, beliau juga berjanji tiada sebarang penyaluran dana daripada kerajaan negeri dalam usaha membantu PFA dan kemajuan bola sepak Perlis.

“Yang pertama kita kena selesaikan dahulu isu pendaftaran sebab dah dua tahun tak buat mesyuarat. Selepas pemilihan itu, kita akan cari jalan supaya isu penggantungan ini dapat diselesaikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN