BANGKOK: Skuad futsal bawah 19 (B-19) kebangsaan mencapai sasaran untuk layak ke separuh akhir Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 yag berlangsung di Nonthaburi, Thailand.
Biarpun tewas 0-1 kepada Indonesia sebentar tadi, anak buah Rakhpol Seinetngam tetap layak berdasarkan perbezaan bolos selepas berkongsi satu mata dengan Myanmar.
Dalam aksi menentang Indonesia yang juga perlawanan kedua Kumpulan B itu, skuad negara ketinggalan seawal minit pertama permainan menerusi jaringan Andika Ferdiansyah.
Gol berkenaan terhasil selepas pemain negara melakukan kesilapan dengan membiarkan Andika bergerak bebas, sekali gus menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohammad Ammar Harith Mohamad.
Perlawanan selepas itu berlangsung sengit dengan Malaysia dilihat lebih banyak bertahan bagi mengelak gawang terus dibolosi bagi menjamin tempat ke peringkat separuh akhir.
Perlawanan ditamatkan tanpa sebarang tambahan jaringan dan keputusan itu sekali gus melegakan pemain dan pengurusan skuad negara untuk ke separuh akhir, manakala Myanmar tersingkir.
Indonesia layak ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B selepas mengutip enam mata penuh hasil kemenangan ke atas Myanmar 4-1 semalam dan Malaysia (1-0), hari ini.
Selaku naib juara Kumpulan B, Malaysia akan berdepan juara Kumpulan A sama ada Thailand atau Vietnam pada 27 Disember ini, manakala aksi final dan penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada 29 Disember.-UTUSAN










