Perjuangan Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun terhenti di WTF

Perjuangan Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun terhenti di WTF

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mara ke separuh akhir selepas tunduk kepada gandingan No. 3 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, hari ini.

Pasangan No. 1 Malaysia itu tewas menerusi permainan rubber set kepada wakil India tersebut 21-17, 18-21, 15-21 dalam masa 1 jam 9 minit.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik kepada Rankireddy-Shetty telah membuka laluan kepada beregu India itu merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 6-11 yang masih berpihak kepada pasangan negara berkenaan.

Kekalahan tersebut juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik menamatkan aksi mereka di kedudukan ketiga dengan Rankireddy-Shetty muncul selaku juara Kumpulan B mengiringi beregu tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang ke separuh akhir.

Satu-satunya kemenangan yang dicatat Aaron-Woi Yik pada edisi kali ini ialah menundukkan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam perlawanan pembukaan.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan A melibatkan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut gagal ke peringkat kalah mati selepas ditimpa kekalahan kedua di tangan pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 23-25, 21-14, 19-21 dalam masa 1 jam 3 minit.

Kekalahan itu menyaksikan gandingan No. 4 dunia tersebut terus ditimpa kekalahan di tangan juara dunia dari Korea Selatan itu buat kali keenam berturut-turut.

Wei Chong-Kai Wun yang buat kali pertama beraksi pada WTF melengkapkan penampilan mereka di kedudukan ketiga dalam Kumpulan A.

Kegagalan Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun, bermakna Malaysia masih perlu menunggu lagi untuk melihat sektor beregu lelaki menjulang gelaran WTF yang masih belum mampu direalisasikan.

Pencapaian terbaik Malaysia setakat ini ialah menerusi beregu No. 6 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir sebelum tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, tahun lalu.

Sze Fei-Izzuddin juga merupakan beregu lelaki pertama Malaysia mara ke final sejak WTF diperkenalkan pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN