Pearly-Thinaah ‘sebelah kaki’ ke separuh akhir WTF

Pearly-Thinaah ‘sebelah kaki’ ke separuh akhir WTF

PEARLY Tan-M. Thinaah - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah kini ‘sebelah kaki’ ke separuh akhir selepas melakar kemenangan kedua dalam saingan Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.

Pilihan pertama itu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan gandingan No. 6 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-13, 21-18 dalam masa 52 minit.

Pearly-Thinaah yang mempunyai pencapaian baik ke atas Iwanaga-Nakanishi kini semakin melebarkan rekod kemenangan ke atas lawan mereka itu kepada 8-2.

Esok, Pearly-Thinaah yang berada di kedudukan No. 1 dalam ranking WTF bakal menutup aksi Kumpulan A menentang satu lagi beregu Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang menghuni ranking No. 5 dunia.

Pada ketika ini, Pearly-Thinaah mendahului Kumpulan A dengan dua kemenangan selepas menundukkan beregu tuan rumah yang merupakan pasangan No. 4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-17, 21-11 dalam masa 46 minit, semalam.

Bagaimanapun, untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir lebih awal, Pearly-Thinaah perlu menunggu keputusan satu lagi perlawanan antara Fukushima-Matsumoto menentang Yi Fan-Shu Xian.

Seandainya Yi Fan-Shu Xian ditimpa kekalahan kedua, maka, Pearly-Thinaah akan layak ke pusingan kalah mati.

Namun, jika keputusan sebaliknya, maka, mereka wajib menewaskan Fukushima-Matsumoto, esok, bagi mengelak pengiraan set dilaksanakan untuk menentukan juara dan naib juara Kumpulan A. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN