Nik Safuan ada ramuan benam tuan rumah

Nik Safuan ada ramuan benam tuan rumah

Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara menjalani latihan menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara memiliki ramuan untuk mengekang kelebihan tuan rumah, Thailand pada Sukan SEA 2025.

Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, menegaskan fokus pasukan kini adalah memperkukuh ketahanan fizikal dan intensiti permainan.

Katanya, cabaran utama menentang pasukan gergasi seperti Thailand dan Filipina adalah taktikal serta kepantasan, namun menegaskan kejayaan banyak bergantung kepada kualiti ‘breakdown’.

“Thailand tidak suka bila kita bertahan secara agresif. Bila kita tekan mereka di ‘breakdown’, mereka cepat hilang rentak dan banyak buat kesilapan.

“Tapi kalau breakdown kita tak menjadi, memang sukar sebab mereka ada kelebihan saiz dan kekuatan. Mereka juga sudah buat persiapan lebih lama, hampir dua tahun,” katanya.

Menurut Nik Safuan, tumpuan sepenuhnya akan diberikan dari aspek memperkukuh situasi breakdown bagi memastikan Malaysia mampu mengekalkan gaya permainan agresif dan bertenaga sepanjang kejohanan.

“Kita ada kelebihan dari segi taktikal dan speed. Cuma ketahanan yang selalu jadi punca prestasi merudum. Kalau breakdown kita agresif, Insya-Allah kita boleh beri tentangan hebat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan antara cabaran utama dalam siri pertandingan sebelum ini ialah kemerosotan prestasi apabila memasuki hari kedua yang berpunca daripada kecederaan serta penurunan tahap kecergasan.

“Biasanya kita mampu bertahan hari pertama, tetapi hari kedua pemain mula rasa kecederaan kecil dan prestasi menurun.

“Jadi minggu ini kita benar-benar fokus kepada keadaan fizikal dan intensiti permainan supaya pemain boleh kekal bertenaga hingga ke akhir,” katanya.

Skuad ragbi 7s negara kini berada pada fasa akhir persiapan sebelum acara itu membuka tirai pada 13 Disember ini di Bangkok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN