LONDON: Mikel Merino meneruskan kemunculannya sebagai penjaring gol yang tidak disangka-sangka untuk Arsenal apabila membantu pasukannya melekar kemenangan 2-0 terhadap Brentford dalam aksi liga, semalam.
Posisi asal Merino telah ditukar daripada pemain tengah ke jentera serangan Arsenal berikutan kecederaan yang menimpa Viktor Gyökeres, Kai Havertz dan Gabriel Jesus.
Ini adalah perlawanan kedua berturut-turut di mana Merino memberikan sumbangan penting kepada Arsenal selepas gol penyamaan ketika menentang Chelsea, Ahad lalu.
“Ia sungguh luar biasa apa yang dia lakukan sekali lagi hari ini. Bukan sahaja gol itu kerana ia memang menakjubkan, tetapi juga pergerakan, kualiti, penyudah, pemasaan, dan kerja kerasnya. Ia sangat hebat,” kata Arteta.
Arsenal kini tidak tewas dalam 18 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan ketika mereka memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama sejak 2004.
Selepas menamatkan tiga musim lalu sebagai naib juara EPL, The Gunners memperlihatkan kemampuan mereka untuk mendapatkan kemenangan walaupun ketika tidak berada di tahap terbaik.
“Ia sentiasa tidak selesa kerana Brentford hanya perlukan lontaran dan ianya menjadi kekacauan dan pengembaraan. Satu gol tidak pernah cukup menentang mereka tetapi saya rasa kami menguasai permainan dan mencipta peluang terbaik.
“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati. Minggu yang kami lalui, tiga hari tanpa rehat, untuk mengulangi prestasi seperti itu, saya sangat bangga dengan para pemain.
“Terutamanya dengan jumlah kecederaan yang kami hadapi. Ia satu cabaran. Semua yang diberi peluang bermain telah menunjukkan prestasi,” kata Arteta.
Sementara itu, Brighton tewas 4-3 kepada Aston Villa di laman sendiri manakala Newcastle terikat 2-2 menentang Tottenham.
Burnley pula akur tewas 0-1 kepada Crystal Palace manakala Nottingham Forest membawa pulang tiga mata susulan kemenangan 1-0 ke atas Wolves. Leeds menang 3-1 ke atas Chelsea. – AFP










