MELAKA: Impian Melaka memburu kemenangan pertama menjadi kenyataan apabila menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini malam ini.
Pemain import dari Brazil, Juan Douglas Da Silva muncul hero apabila dua jaringan peribadinya membantu kemenangan tuan rumah pada minit ketiga dan minit ke-26.
Kemenangan yang amat bermakna buat Melaka FC selepas deretan kekalahan dialami menyebabkan pasukan bimbingan jurulatih, Datuk K. Devan menghuni tangga terbawah liga pada satu ketika.
Kejayaan itu membolehkan skuad Sang Kancil mengubah kedudukan daripada tangga terbawah naik ke tempat ke-10 Liga Super daripada sembilan perlawanan dilalui.
Seawal minit ketiga tuan rumah membuat kejutan apabila pemain import dari Brazil, Juan Douglas Da Silva merembat masuk gol pertama menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Azri Abdul Ghani.
Menerusi sepakan sudut bola tersebut terus ke kaki Juan Douglas yang terus melakukan rembatan kencang menggegar jaring.
Negeri Sembilan yang tersentak dengan gol tersebut cuba menggandakan asakan namun sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Pada minit ke-26 Melaka FC mengamamkan anak didik jurulatih Mohd. Nidzam Jamil apabila Juan Douglas meledakkan jaringan keduanya.
Bagaimanapun, gol tersebut dibantah oleh pemain Negeri Sembilan kerana ‘off-said’ hingga pengadil perlawanan, Norhafizi Osman melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan mengesahkan jaringan tersebut.
Sebaik dua minit babak kedua bermula pelawat hampir-hampir mencipta jaringan bagaimanapun percubaan Luqman Hakim Shamsudin tidak menepati sasaran.
Pada minit ke-56, pelawat hampa lagi apabila rembatan penyerang import dari Bosnia & Herzegovina, Jovan Motika sekadar mengenai tiang gol sebelah kiri.
Di minit-minit terakhir babak perlawanan hendak ditamatkan ketua pasukan Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee dilayangkan kad merah selepas menyiku pemain tuan rumah. – UTUSAN










