PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara memulakan kempen Kumpulan B Sukan SEA 2025 dengan penuh bergaya apabila melakar kemenangan besar 4-1 ke atas Laos di Stadium Rajamangala, Bangkok, hari ini.
Bagaimanapun, skuad kendalian Nafuzi Zain itu terlebih dahulu dikejutkan menerusi jaringan Xaysombat Bounphaeng seawal minit keempat selepas menerima hantaran lintang daripada Sangvilay Phoutthavong untuk meletakkan Laos di depan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara mengatur serangan bagaimanapun disiplin tinggi yang ditunjukkan pertahanan Laos telah menyukarkan usaha Malaysia untuk memasuki ke kawasan kotak penalti lawan.
Usaha keras Malaysia akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh gol penyamaan pada minit ke-33 menerusi jaringan Haykal Danish berpunca daripada hantaran Danish Hakimi.
Bersambung babak kedua, Malaysia meneruskan usaha mereka untuk menembusi gawang lawan bagaimanapun skuad kendalian Hyeokjun Ha berjaya menafikannya.
Malaysia memperoleh gol kedua pada minit ke-59 menerusi penyerang, Haqimi Azim yang pantas melakukan tindakan susulan selepas penjaga gol Laos, Lokphathip Kop gagal menangkap dengan kemas hantaran Muhammad Alif.
Pasukan negara semakin bernafsu memburu gol dan mereka memperoleh jaringan menerusi tandukan Moses Raj dua minit kemudian berpunca daripada sepakan percuma Arshad Shafizan setelah Haqimi dijatuhkan lawan.
Ketika permainan menuju tamat, Malaysia memperoleh gol keempat selepas Muhammad Abu Khalil pantas menyambar bola menewaskan Kop berpunca daripada asakan Rohisham Haiqal pada minit ke-90.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia berada di tangga kedua di belakang Vietnam yang sebelum ini menewaskan Laos 2-1.
Cabaran sebenar menanti pasukan negara pada aksi terakhir kumpulan apabila dijadual bertemu Vietnam di venue yang sama pada 11 Disember ini. – UTUSAN










