BANGKOK: Tidak meletakkan diri dalam tekanan membolehkan atlet taekwondo negara, Chin Ken Haw meraih pingat gangsa menerusi acara gaya bebas individu lelaki di Sukan SEA 2025, semalam.
Dalam aksi di Dewan 3 Island Fashion Mall itu, Ken Haw mempamerkan aksi kemas dan tersusun untuk mengutip 7.740 mata, sekali gus menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara.
Pingat emas dalam acara itu dimenangi oleh Macario Justin Kobe dari Filipina yang meraih 8.200 mata, manakala perak diraih oleh atlet tuan rumah, Koedkaew Atchariya yang mengutip 8.100 mata.
“Saya rasa saya telah melakukan yang terbaik dan hasil ini hadir selepas saya bekerja keras sepanjang tahun dalam persiapan ke sini. Saya telah melakukan semua yang saya mampu untuk Malaysia.
“Saya berpuas hati dengan kejayaan meraih gangsa ini kerana pesaing saya memang kuat. Saya fikir ia bagus untuk saya dan memberi semangat untuk beraksi dalam acara seterusnya.,” katanya.-UTUSAN










