Teks draf Akta PNPV 2004 'bocor', NGO persoal ketelusan kerajaan

Teks draf Akta PNPV 2004 ‘bocor’, NGO persoal ketelusan kerajaan

NURFITRI Amir Muhammad (tengah) bersama Pengarah Eksekutif TWN, Chee Yoke Ling (kanan) dalam sidang akhbar kempen pindaan hentikan Akta PNPV 2004 di Pejabat TWN, Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/NUR FATEHAH ROSNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mendakwa teks penuh Draf Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta PNPV 2004) telah ‘bocor’ dan boleh diakses melalui sumber luar negara di Geneva, Switzerland, bukannya daripada kerajaan Malaysia sendiri.

Pendedahan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) apabila dokumen perundangan yang dianggap sulit untuk pemegang taruh tempatan didakwa diserahkan secara terbuka kepada Sekretariat Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV).

Koordinator FKMM, Nurfitri Amir Muhammad berkata, pihaknya kesal kerana terpaksa memperoleh maklumat berkaitan undang-undang negara melalui laman web entiti asing.

“NGO telah sekian lama memohon draf penuh pindaan, namun permohonan tidak diberikan atas alasan maklumat sulit.

“Namun kini, dokumen itu boleh dimuat turun daripada laman web Sekretariat UPOV di Geneva. Ini membuktikan ketidakjujuran dalam proses konsultasi domestik apabila entiti asing lebih diutamakan berbanding rakyat sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Third World Network (TWN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati Malaysia telah menyerahkan permohonan kepada Majlis UPOV untuk meneliti draf pindaan tersebut pada 23 September 2025 dan badan antarabangsa itu menerima pematuhannya pada 24 Oktober 2025.

Situasi itu didakwa bercanggah dengan jaminan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang Parlimen pada 25 November lalu.

“Menteri sebelum ini memberi jaminan bahawa kementerian tidak akan memuktamadkan sebarang langkah pindaan sebelum mencapai persetujuan meluas daripada para petani.

“Namun jelas, proses konsultasi telah cacat. Walaupun pihak luar (Sekretariat UPOV) diberikan akses kepada draf pindaan, petani, NGO tempatan, wakil rakyat dan agensi kerajaan lain masih belum menerimanya secara rasmi,” katanya.

FKMM turut mengulangi kebimbangan bahawa penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen UPOV 1991 menerusi pindaan itu bakal menjejaskan hak asasi petani untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih ladang.

“Ia berisiko meningkatkan harga benih komersial sehingga empat kali ganda, mewujudkan monopoli syarikat besar serta menggalakkan biopirasi terhadap sumber genetik tempatan,” dakwanya.

Dalam pada itu, gabungan pertubuhan petani, komuniti Orang Asli dan pengguna itu mendesak supaya proses pembentangan pindaan akta tersebut dihentikan serta-merta.

“Kami tidak menolak kemungkinan mengadakan himpunan bantahan sekiranya kerajaan meneruskan agenda ini tanpa mematuhi proses konsultasi yang telus dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN