Lelaki maut dalam kejadian tembak-menembak

Lelaki maut dalam kejadian tembak-menembak

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kejadian tembak menembak di Jalan Rasah di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini.

Seorang lagi mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 47 tahun dan memiliki 15 rekod kes jenayah pula cedera dan masih dirawat di hospital yang sama.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku antara pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi sebelum pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.53 pagi berkaitan insiden berkenaan.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah terima panggilan memaklumkan satu kejadian tembak-menembak di Jalan Rasah berhampiran Tol Port Dickson.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan tompokan darah di atas jalan raya dan telah menjumpai beberapa kelongsong peluru. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi semasa kejadian bersama kenderaan yang dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa didapati masih bernyawa ketika dibawa ke hospital namun mangsa berusia 43 tahun telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan awal kenderaan yang dinaiki mangsa, terdapat beberapa kesan tembakan,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×