BANGKOK: Andre Anura Anuar berjaya menebus kekecewaan dalam acara lompat kijang apabila meraih pingat emas dalam final lompat jauh yang berlangsung Stadium Nasional Supachalasai, sebentar tadi.
Andre melakukan 7.71 meter (m) dalam lompatan terakhir untuk menewaskan atlet Filipina, Ubas Janry (7.64m) untuk pingat perak, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Singapura, Medina Anrew George (7.53m).
Atlet kelahiran Sabah itu pada Jumaat lalu gagal melengkapkan hatrik emas di Sukan SEA dalam acara lompat kijang dan beliau berjanji untuk menebus kekecewaan itu dalam acara lompat jauh.
Dalam acara lompat kijang, Andre melakukan lompatan 16.29m untuk perak, manakala emas diraih atlet Vietnam, Ho Trong Manh Hung (16.33m) dan gangsa milik, Gabriel Lee dari Singapura (16.09m).- UTUSAN










