Trek konkrit uji ketahanan pelumba negara

Trek konkrit uji ketahanan pelumba negara

FADHIL ZONIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad berbasikal trek negara bakal berdepan cabaran luar biasa di Sukan SEA Thailand bulan depan apabila perlu menyesuaikan diri dengan velodrom terbuka yang menggunakan trek konkrit selain terdedah kepada angin dan cuaca tidak menentu.

Pelumba pecut negara, Muhammad Fadhil Zonis mengakui perlumbaan di Velodrom Hua Mark menuntut ketepatan dalam pemilihan gear dan strategi, berbeza sepenuhnya dengan perlumbaan di velodrom tertutup seperti di Velodrom Nasional Nilai atau Hong Kong.

Katanya, skuad kebangsaan yang kini berada pada fasa akhir latihan di Velodrom Cheras sedang menumpukan sepenuhnya kepada penyesuaian gear dan gaya kayuhan agar mampu menyesuaikan diri dengan keadaan trek luar yang lebih ‘berat’.

“Persiapan setakat ini berjalan baik. Fokus utama ketika ini ialah mencari ‘gearing’ yang tepat untuk perlumbaan outdoor, terutamanya bagi acara pecut berpasukan dan keirin.

“Trek outdoor memang lain. Permukaannya lebih berat, jadi gear yang digunakan tidak sama seperti di indoor. Kita juga perlu mengambil kira keadaan angin dan cuaca yang boleh berubah pada bila-bila masa,” kata Fadhil.

Fadhil berkata, latihan kali ini turut menekankan simulasi perlumbaan sebenar bagi membiasakan diri dengan situasi angin lintang serta perubahan suhu, dua faktor utama yang sering mempengaruhi kelajuan dan kestabilan kayuhan.

Mengulas mengenai persaingan, beliau menjangkakan skuad tuan rumah bakal menjadi pencabar utama, namun menegaskan Malaysia tidak akan menyerah mudah.

“Sudah tentu tuan rumah ada kelebihan kerana mereka sentiasa berlatih di sana. Kami perlu cepat menyesuaikan diri.

“Kita tahu Thailand memiliki beberapa pelumba terbaik. Jadi kita kena kaji lebih mendalam cara mereka berlumba terutama mengenai taktikal dan dari situ kita boleh tahu gear yang sesuai,” katanya.

Untuk temasya kali ini, Fadhil akan mengetuai trio negara bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena, menggantikan tempat Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut bulan lalu.

Sudah lapan tahun serta tiga edisi acara trek tidak dipertandingkan sejak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Fadhil bergandingan dengan Mohd Shariz Efendi Shahrin dan Mohd Khairil Nizam Rasol memenangi pingat emas dalam acara pecut berpasukan lelaki.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN