Spalletti tekad pulih maruah Juventus

Spalletti tekad pulih maruah Juventus

LUCIANO Spalletti mahu ubah nasib Juventus.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN: Luciano Spalletti akan memulakan misi memulihkan prestasi Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Sporting Lisbon awal pagi Rabu dalam usaha memburu kemenangan pertama di pentas Eropah musim ini.

Bekas jurulatih Itali itu memulakan tugasnya dengan langkah kanan apabila menewaskan Cremonese 2-1, Ahad lalu, kemenangan yang sudah memperlihatkan sentuhan taktikalnya walaupun baharu dua hari mengambil alih pasukan.

Aksi Juve pada separuh masa pertama di Cremona jauh lebih bertenaga berbanding kebanyakan perlawanan di bawah kendalian Igor Tudor sebelum ini, dengan Spalletti menyelesaikan masalah di benteng pertahanan menerusi eksperimen berani menurunkan pemain tengah Belanda, Teun Koopmeiners dalam formasi tiga pertahanan.

Langkah itu bukan perkara baharu buat Spalletti kerana jurulatih berusia 66 tahun itu terkenal dengan pendekatan taktikal berani sejak memperkenalkan Francesco Totti sebagai ‘false nine’ bertahun-tahun sebelum Pep Guardiola mencuba formula sama dengan Lionel Messi di Barcelona.

“Pasukan lebih penting daripada individu. Jika semua pemain sehaluan dan berhubung rapat, satu hari nanti mereka akan sedar sudah berada di tahap lebih tinggi.

“Kami perlu berani. Kami bukan berada dalam situasi yang tidak diperhatikan sesiapa. Sama ada kami bermain dengan cara yang betul atau beri laluan kepada orang lain,” katanya.

Mengambil alih Juventus memberi peluang besar kepada Spalletti untuk memulihkan reputasinya selepas tempoh suram bersama skuad kebangsaan Itali selepas dipecat pada Jun lalu.

Penyokong Juventus pula menaruh harapan supaya beliau mampu mengulangi keajaiban ketika membimbing Napoli, pasukan yang dibimbingnya menamatkan penantian 33 tahun untuk menjuarai Serie A dan seterusnya membuka jalan ke kerusi panas skuad kebangsaan.

Sepanjang kariernya, Spalletti sering dikenali sebagai figura unik dalam bola sepak Itali yang penuh tekanan malah personaliti tegasnya kerap membawa kepada pertelingkahan dengan pemain bintang.

Antara insiden paling diingati adalah perselisihan dengan Totti pada era keduanya di Roma hampir sedekad lalu, ketika beliau dikecam kerana jarang menurunkan ikon berusia itu menjelang persaraannya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN