LISBON: Cristiano Ronaldo dibenarkan beraksi pada aksi pembukaan Piala Dunia 2026 selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan hukuman penggantungan terhadapnya diselaraskan mengikut Artikel 27 Kod Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu.
Bintang berusia 40 tahun itu, sebelum ini digantung tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika Portugal tunduk 0-2 kepada Republik Ireland di Dublin, awal November lalu.
Insiden menyiku Dara O’Shea itu merupakan kali pertama dilakukan Ronaldo dan dibuang padang selepas 226 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, FIFA memutuskan hanya satu perlawanan dikenakan serta-merta yang telahpun dilunaskan ketika Portugal mengesahkan slot ke Piala Dunia selepas menewaskan Armenia manakala dua lagi penggantungan ditangguhkan di bawah tempoh percubaan selama setahun.
“Selaras dengan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA, baki dua penggantungan itu digantung pelaksanaannya selama tempoh percubaan setahun.
“Jika Ronaldo melakukan kesalahan lain yang sama sifat dan tahapnya sepanjang tempoh percubaan, penggantungan itu akan serta-merta dikuatkuasakan dan dua baki perlawanan perlu dijalani segera dalam aksi rasmi (Portugal) berikutnya,” kata FIFA kepada AFP.
Ronaldo, yang kekal sebagai penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman dengan 143 gol, sebelum ini menyuarakan hasrat untuk beraksi di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pada edisi 2026, sekali gus menambah rekod baharu dalam kariernya iaitu penampilan kali keenam di Piala Dunia.
Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu kini beraksi bersama Al Nassr di Arab Saudi dan penampilan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico nanti dijangka menjaid penampilan terakhirnya di Piala Dunia.
Walaupun masih belum memenangi trofi Piala Dunia, Ronaldo pernah mengangkat kejuaraan Euro 2016 bersama Portugal.-AGENSI










