PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah merangkul gelaran ketiga, musim ini, selepas menjuarai Kejohanan Badminton Jepun Masters 2025 di Kumamoto, Jepun, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan pertama, Pearly-Thinaah sekali lagi menewaskan beregu tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19 dalam masa 54 minit.
Kemenangan tersebut juga membuka peluang kepada Pearly-Thinaah melebarkan rekod pertemuan kepada 7-2 ke atas gandingan No. 7 dunia itu.
Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$37,525 (RM155,071) beserta pingat emas.
Sebelum menjuarai Jepun Masters, beregu No. 1 Malaysia itu telahpun menjulang dua gelaran pada Terbuka Thailand dan Terbuka Arctic. – UTUSAN










