PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar pasukan pemantau khas ke Songkhla susulan banjir besar yang mengancam beberapa lokasi utama Sukan SEA Thailand 2025, termasuk gelanggang bola sepak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah penting itu bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan lokasi yang terjejas sebelum sebarang keputusan melibatkan persiapan kontinjen negara dibuat.
Katanya, keselamatan atlet dan pegawai negara menjadi keutamaan ketika bencana itu masih belum reda di wilayah selatan Thailand tersebut.
“Kami mahu maklumat yang tepat dari lapangan, sebab itu MSN menghantar pasukan pemantau untuk menilai keadaan sebenar di Songkhla,” katanya di sidang media Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia di sini, hari ini.
Beliau berkata, Songkhla merupakan lokasi Sukan SEA Thailand bagi acara sukan tempur dan MSN kini berhubung rapat dengan Sekretariat di sana bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi yang terjejas.
Katanya, Malaysia tidak mahu memberi tekanan kepada Thailand ketika negara itu masih bergelut dengan operasi menyelamat dan pemulihan bencana.
“Kita perlu beri Thailand sedikit masa kerana dalam tempoh bencana ini banyak kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan. Jadi, kita tidak seharusnya mendesak,” katanya.
Menurut beliau, langkah seterusnya adalah menunggu keadaan kembali stabil sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Biar mereka selesaikan usaha menyelamat terlebih dahulu. Yang penting, MSN sedang berhubung rapat dengan Sekretariat di sana,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga berada dalam komunikasi dengan pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Apa-apa perubahan nanti, keutamaan kita adalah memastikan atlet kita pergi ke lokasi yang selamat. Saya sudah mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Luar Negeri,” katanya.
Terdahulu, media Thailand melaporkan, Stadium Tinsulanonda yang menjadi lokasi perlawanan bola sepak lelaki Kumpulan B membabitkan Malaysia, Vietnam dan Laos antara lokasi yang dinaiki air dan berisiko dipindahkan ke Bangkok sekiranya keadaan banjir berterusan. – UTUSAN










