KOTA BHARU: Kelantan Red Warriors (KRW FC) sedia menurunkan barisan terkuat menentang Armed Forces dalam usaha meraih kemenangan pada aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Mindef, petang esok.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Fajarulekram Wan Mokhtar berkata, misi itu tampak menjadi kenyataan apabila beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan pengantungan perlawanan sebelum sudah boleh kembali beraksi.
“Alhamdulillah, moral pemain berada pada tahap terbaik dan mereka sudah melupakan kekalahan yang cukup perit kepada Manjung City FC 1-2 tempoh hari.
“Rata-rata pemain sudah berjanji untuk memberikan aksi terbaik dan tempoh rehat digunakan sebaik mungkin oleh ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim merancana ramuan terbaik dalam misi meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Fajarulekram bagaimanapun meningatkan barisan pemain KRW FC supaya tidak mengambil mudah keupayaan lawan yang disifatkan antara pasukan terbaik dalam saingan liga ketika ini.
Katanya, Armed Forces yang beraksi di tempat sendiri sudah pasti akan berjuang mati-matian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
“Sungguhpun begitu, kita tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka dan misi KRW FC sama mahu meraih kemenangan.
“Kita akan memberikan tentang sengit kepada mereka dan saya harap pemain dapat memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan menjaringkan gol,” ujarnya.
Wan Fajarulekram berkata, KRW FC tidak boleh keciciran mata lagi jika mahu berada kedudukan terbaik dalam saingan liga selain mengintai peluang mara ke kancah Liga Super musim hadapan.
Katanya, dia percaya Ifran Bakti sudah mempunyai rencana terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik KRW FC.-UTUSAN










