KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr. Azman Ibrahim dituntut memohon maaf berhubung kenyataannya yang mendakwa minyak negara tidak melalui Selat Hormuz.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan tersebut tidak tepat kerana kira-kira 46 peratus minyak yang diproses oleh Petronas melalui laluan Selat Hormuz.
“Saya menuntut Dr. Azman memohon maaf atas tuduhan tersebut kepada kerajaan,” katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen PKR di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azman yang Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu dilaporkan berkata, kenaikan harga minyak di negara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri.
Katanya, di perairan Terengganu sahaja terdapat kira-kira 120 pelantar minyak yang sedang beroperasi, walaupun jumlah itu berubah mengikut keadaan semasa.
Fahmi turut mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan terhadap Petronas tanpa fakta yang tepat.
Sementara itu, beliau berkata, bukan hanya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sahaja yang perlu mempertahan kerajaan, sebaliknya semua anggota parti mempunyai peranan masing-masing.
“Saya bangga dengan kehadiran ahli PKR yang menunjukkan sokongan kepada gerakan reformasi. Walaupun kita tewas 32-0 pada pilihan raya negeri lalu, itu menjadi titik penting untuk kita terus bekerja keras bagi menghadapi PRU16,” katanya. – UTUSAN










