NEW YORK: Kenya sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam larian jarak jauh apabila menyapu bersih podium lelaki dan wanita pada Maraton New York, semalam.
Benson Kipruto muncul juara dengan catatan 2 jam 8 minit 9 saat (s) selepas menewaskan rakan senegara, Alexander Mutiso dalam perebutan mendebarkan yang hanya dipisahkan kurang dua persepuluh saat.
Kipruto yang menambah koleksi kejuaraan utama keempatnya mengakui perlumbaan kali ini antara paling sengit dalam kariernya, apatah lagi terpaksa memecut sekuat tenaga di 50 meter terakhir untuk memastikan kemenangan.
“Ia sangat menakjubkan, bahagian akhir amat sukar dan saya terpaksa menolak sehabis daya untuk menang,” kata Kipruto.
Dalam kategori wanita, Hellen Obiri pula melakar sejarah baharu apabila menamatkan larian dengan masa 2:19.51s, sekali gus memecahkan rekod laluan yang berusia 22 tahun.
Obiri yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 menjarakkan diri daripada Sharon Lokedi di selekoh terakhir untuk merangkul kejuaraan keempatnya dalam siri utama dunia.
“Kami berdepan saingan yang sangat kuat, tapi saya hanya beritahu diri sendiri supaya terus berusaha dan menolak hingga ke garisan penamat,” katanya yang turut membawa pulang bonus AS$50,000 (RM209,875).
Sementara itu, juara dua kali Olimpik, Eliud Kipchoge menamatkan saingan di tangga ke-17 dengan catatan 2:14.36s, namun menegaskan akan meneruskan kariernya menerusi misi khas Eliud Kipchoge World Tour melibatkan tujuh maraton di tujuh benua. – AGENSI

								
											






