Kenapa Malaysia takut tetapkan sasaran emas?

Kenapa Malaysia takut tetapkan sasaran emas?

Atlet memanah recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi (dua kanan), Shaqiera Mashayikh (tiga kanan) dan Joey Tan Xing Lei (kiri) menjalani latihan sebagai persediaan ke Sukan SEA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang enggan menetapkan sasaran pingat emas yang jelas untuk kontinjen negara pada temasya Sukan SEA terus dipertikaikan.

Pemerhati sukan tempatan, Zakaria Rahim berkata, tindakan itu satu langkah mengecewakan dan tidak masuk akal, terutama apabila Malaysia menghantar lebih 1,600 atlet ke temasya dwitahunan terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Mereka sepatutnya meletakkan tekanan kepada setiap persatuan sukan, bukannya membiarkan atlet berlumba tanpa sasaran jelas. Setiap sen yang dibelanjakan mesti ada pulangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zakaria turut menegaskan bahawa pendekatan ‘any colour will do’ atau sasaran hanya berdasarkan jumlah pingat tanpa sasaran emas adalah tidak wajar bagi acara sebesar Sukan SEA.
Jelasnya, sasaran realistik dan terperinci perlu digariskan supaya atlet dan persatuan sukan jelas dengan matlamat yang harus dicapai.

“Thailand sasar 164 emas, Indonesia 90 emas, Vietnam 100 emas, malah Singapura sendiri sudah menetapkan sasaran 20 emas untuk acara Akuatik. Jadi mengapa Malaysia takut untuk menetapkan sasaran emas?” soalnya.

Beliau juga menganggap tindakan tersebut sekaligus memberi gambaran bahawa KBS dan MOM kurang yakin dengan kemampuan atlet negara, malah berisiko melemahkan semangat juang mereka.

“Ini bukan sukan olimpik atau sukan Asia, ini Sukan SEA yang secara logiknya kita mampu capai pingat emas. Jika sasaran emas sukar dicapai, kurangkan sedikit, tetapi jangan langsung tidak ada sasaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN