PETALING JAYA: Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Olahraga Dunia seperti yang didakwa sebelum ini.
Karim turut berkata, pada tahap kerjayanya kini, fokus beliau bukan lagi terhadap dirinya sendiri sebaliknya ingin memanfaatkan beberapa tahun yang ada bagi memberi sumbangan kepada pembangunan sukan olahraga di Malaysia.
“Masa lalu saya, termasuk cabaran dan sumbangan, adalah sebahagian daripada perjalanan kerjaya saya dalam MA. Saya tidak menjauhkan diri daripadanya dan pengajaran yang saya peroleh terus membimbing cara saya memimpin hari ini.
“Namun, saya ingin menegaskan dan menjelaskan bahawa saya tidak pernah digantung seumur hidup oleh Olahraga Dunia seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Ini adalah tuduhan palsu dan saya mengekalkan semua hak saya dalam perkara ini.
“Fokus saya kini adalah pada perancangan pengganti, melahirkan pemimpin baharu, memperkasakan pentadbir muda dan memastikan MA kekal kukuh selepas tempoh saya berakhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Karim turut berkata, proses terakhir pindaan perlembagaan badan induk itu telah melalui tiga pusingan perbincangan di peringkat Majlis sebelum diterima sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan 2024 dan kemudiannya diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Katanya lagi, MA bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti tadbir urus dan integriti secara bebas, dianggotai pakar dari luar serta bekas atlet.
“Jawatankuasa tersebut akan menyemak proses dalaman persekutuan, garis panduan integriti dan tadbir urus, supaya selaras dengan piawaian Olahraga Dunia,” katanya.
Terdahulu, PJS telah memulakan siasatan terhadap MA selepas menerima aduan mengenai pindaan perlembagaan yang kontroversi.
Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) Datuk Seri Dr V. Pulainthiran sebelum ini dilaporkan mendakwa terdapat pindaan perlembagaan MA sehingga membolehkan individu yang memegang tampuk kepimpinan badan induk itu kini dipilih semula sebagai Presiden MA bagi penggal 2025-2028.-UTUSAN










