PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya diingatkan supaya tidak terlalu yakin atau ghairah menjelang pertembungan penting menentang Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Bekas pemain kebangsaan, Mohd Badhri Mohd Radzi berkata, walaupun pasukan negara kini dilihat sudah menampilkan peningkatan prestasi, mereka tetap perlu berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan lawan.
“Walaupun kita dah nampak perkembangan positif dalam pasukan, kita jangan ambil mudah pasukan lawan.
“Bola sepak ini, macam-macam boleh berlaku. Jangan terlalu yakin sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Badhri atau mesra disapa Piya menegaskan, skuad Harimau Malaya harus memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia di Bukit Jalil.
“Kita harap skuad kebangsaan kita menang di tempat sendiri. Penyokong ada belakang kita, jadi siapa-siapa yang bermain harus beri yang terbaik demi negara,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh mengenai kualiti pemain tempatan dan cabaran tanpa kehadiran tujuh pemain warisan yang digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Memang ada sedikit kesan tanpa tujuh pemain warisan yang tidak dapat beraksi. Tapi kita juga kena beri peluang kepada pemain tempatan lain yang ada kualiti. Jangan terlalu harap pada pemain itu sahaja,” katanya.
Bekas kapten Kelantan itu juga mengingatkan perlawanan menentang Nepal adalah peluang terbaik buat barisan pemain menunjukkan keupayaan sebenar dan membuktikan mereka layak mewakili negara dengan penuh kebanggaan.
“Kalau ada peluang, gunakan sepenuhnya untuk beri yang terbaik. Saya yakin jika semua main bersungguh, kemenangan bukan mustahil,” tambah beliau.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada Mac lalu.-UTUSAN










