Kerajaan cadang hukuman lebih berat pencuri kabel

Kerajaan cadang hukuman lebih berat pencuri kabel

ANTHONY Loke semasa sidang akhbar pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan di Putrajaya, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi memberi hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan kecurian kabel infrastruktur pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu sudah dibincangkan bersama pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat dikenakan terhadap pelaku yang mengancam keselamatan sistem pengangkutan awam negara.

Menurutnya, kes kecurian kabel tidak boleh lagi dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia berpotensi menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Perkara ini sedang disiasat oleh pihak polis dan kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi polis supaya tindakan yang lebih tegas dapat diambil terhadap kes-kes kecurian kabel ini.

“Malah, kita telah mencadangkan kepada KDN supaya undang-undang sedia ada dipinda bagi memberikan hukuman lebih berat kepada pencuri kabel,” katanya di sidang media pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan di sini, hari ini.

Tambahnya, perbuatan mencuri kabel infrastruktur pengangkutan boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya sistem itu terjejas akibat kehilangan komponen penting tersebut.

“Apabila berlaku kecurian kabel, ia bukan sekadar kesalahan mencuri semata-mata tetapi turut mengancam keselamatan orang ramai kerana boleh menyebabkan kemalangan dalam sistem pengangkutan awam negara.

“Sebab itu kita melihat ia sebagai satu kesalahan yang sangat serius dan meminta supaya undang-undang berkaitan diperketatkan,” katanya.

Katanya lagi, sesi libat urus telah dijalankan pada Disember lalu dan langkah seterusnya akan diambil oleh pihak KDN.

Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya yang mengakibatkan gangguan operasi perkhidmatan rel berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN