PETALING JAYA: Imigresen FC akhirnya membuka akaun kemenangan dalam saingan Liga Super musim 2025/2026 selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Kemenangan itu memberi kelegaan buat pengendalinya Yusri Che Lah yang menyifatkan ia detik yang paling dinantikan selepas mengharungi tujuh perlawanan tanpa mengutip tiga mata.
Jelasnya, kemenangan itu tidak diraih dengan mudah apabila terpaksa bekerja keras dalam mempertahankan kelebihan satu gol meskipun menerima tekanan tinggi daripada lawan terutama pada babak kedua.
“Saya terharu dengan komitmen pemain. dalam keadaan yang amat tertekan, kami berada dalam situasi debaran berbeza sebab kami tidak mengejar jaringan tetapi mahu mengekalkan jaringan tunggal itu.
“Semua sedia maklum pasukan kami sering kali boleh beraksi baik pada separuh masa pertama tetapi selalu gagal adaptasi dengan corak permainan lawan di babak kedua dan berdepan keputusan yang tidak memihak kami.
“Namun fokus, ketahanan mental pemain cukup kuat dan hari ini (semalam) mereka tampilkan sesuatu yang berlainan dan akhirnya kami diberi jalan kemenangan terbaik,” katanya.
Lebih manis, tiga mata berharga itu bukan saja menjadi rekod kemenangan pertama tanpa bolos, malah melonjak kedudukan skuad The Mighty Tigers ke tangga kelapan liga ketika ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kecewa terhadap kegagalan skuad kendaliannya mengekalkan momentum menyakinkan berbanding empat perlawanan terakhir.
Menurutnya, persembahan longlai dipamerkan anak buahnya menyimpang jauh daripada apa yang diharapkan dengan pemain kelihatan panik setiap kali peluang keemasan gagal disempurnakan menyebabkan mereka dihukum pasukan lawan.
“Daripada segi tenaga juga merosot, walaupun nampak mereka berusaha memburu gol penyamaan sehingga minit terakhir tetapi masih kurang kerana mereka pernah tunjuk persembahan yang jauh lebih baik sebelum ini.
“Kemungkinan besar mereka mengambil mudah untuk perlawanan ini. Saya harap ini menjadi pengajaran terbaik supaya pemain tidak mengulangi kesilapan sebegini pada masa akan datang,” jelasnya.-UTUSAN









