Hujan rahmat buat Yamashita

Hujan rahmat buat Yamashita

MIYU Yamashita juara Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketabahan menghadapi cuaca tidak menentu membawa tuah kepada Miyu Yamashita apabila pemain Jepun itu muncul juara Kejohanan Golf Terbuka Malaysia selepas menewaskan Hannah Green dan Choi Hye-jin di lubang playoff, kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu menamatkan saingan dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 270 selepas membenam birdie pada lubang pertama playoff di Kuala Lumpur Golf & Country Club.

“Banyak gangguan disebabkan cuaca, tapi saya berjaya kekal fokus dan kawal permainan saya. Saya memang gementar ketika itu, tapi saya kosongkan fikiran dan bersedia untuk playoff,” kata Yamashita.

Yamashita membawa pulang hadiah utama bernilai AS$450,000 (RM1.8 juta) hasil kejayaan menundukkan Green dan Choi yang turut menamatkan permainan dengan catatan sama.

Kemenangan itu juga menjadikan Yamashita antara pemain paling konsisten di Jelajah LPGA apabila meraih dua gelaran dalam tempoh tiga bulan selepas kejayaan di Jepun pada Ogos lalu.

“Pukulan putt saya sangat baik dan saya dapat hasilkan banyak birdie, semalam pukulan saya tak begitu baik tapi saya banyak berlatih dan ternyata ia berbaloi,” katanya.

Yamashita yang membuat penampilan sulung di Malaysia mengakui dia semakin menyukai negara ini dan berhasrat untuk kembali mempertahankan gelaran pada tahun hadapan.

“Saya benar-benar suka Malaysia sekarang dan mahu datang lagi ke sini,” katanya.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN