LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, enggan menyalahkan pengadil selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam, meskipun terdapat beberapa insiden kontroversi.
Guardiola dan barisan kejurulatihan City dilihat bangun dari bangku pemain sambil mendesak diberikan sepakan penalti susulan terjahan keras ke atas Phil Foden pada babak pertama.
Gol kemenangan Newcastle juga turut terpalit kontroversi sehingga memaksa semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam tempoh yang lama sebelum disahkan.
“Ia adalah seperti yang diputuskan VAR. Mereka (pengadil) tahu dan lihat dengan lebih jelas,” kata Guardiola.
Pada aksi di Stadium St. James’ Park, menyaksikan kedua-dua pasukan mensia-siakan banyak peluang pada babak pertama dan jaringan hanya hadir di minit ke-63 hingga 70 apabila pemain Newcastle, Harvey Barnes meledak dua gol bagi memadam gol Ruben Dias untuk City.
“Kedua-dua penjaga gol bermain baik dan selepas itu kami mensia-siakan peluang. Ia perlawanan yang menghiburkan dengan banyak peluang, kami lebih hampir untuk mendapatkan gol pada awal permainan.
“Newcastle adalah pasukan hebat, pemain hebat, pengurus hebat, jadi malangnya kami tidak dapat mengekalkan momentum yang ada.
“Ia perlawanan yang menghiburkan, kedua-dua pasukan mempunyai peluang dan kemudian momentum berubah dan akhirnya kami tidak dapat menang,” kata Guardiola.
Kekalahan itu menafikan peluang City untuk merapatkan jurang dengan Arsenal yang mendahului liga dengan 26 mata, sementara City kini di tangga ketiga dengan 22 mata.
Penjaring gol Newcastle, Barnes mengakui kemenangan ke atas City itu amat diperlukan pasukan yang ketika ini selepas berada di tangga ke-14 EPL, selain permulaan musim yang perlahan.
“Diharapkan selepas keputusan hari ini kami boleh melonjak dan memulakan rentak yang baik,” kata Barnes.-AGENSI










