Serah kuarters guru terbiar di Kerdau kepada jabatan lain

Serah kuarters guru terbiar di Kerdau kepada jabatan lain

Kuarters Institusi Pendidikan (KIR) Kerdau terbiar sejak lima tahun lalu mencetuskan pandangan tidak selesa penduduk dan masyarakat yang melalui lokasi berkenaan. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Blok Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) Kerdau yang terbiar lebih lima tahun di tepi jalan utama Temerloh–Je­rantut di sini, merupakan sebahagian daripada puluhan lagi kuarters guru di seluruh negara yang dibiarkan usang tanpa penghuni.

Bangunan tiga tingkat yang terletak di lokasi strategik berhampiran pekan Kerdau itu kini dipenuhi semak-samun, cat mengelupas dan beberapa unit kelihatan rosak.

Ia juga menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pengurusan aset kerajaan dan perancangan penempatan guru.

Seorang penduduk Kampung Paya Taram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berke­naan, Ishak Awalludin, 65, ber­kata, keadaan kuarters itu mendukacitakan kerana kemudahan yang sepatutnya memberi keselesaan kepada guru dibiarkan terbengkalai.

Menurutnya, hampir setiap hari dia melalui kawasan itu dan rasa terkilan melihat bangunan yang masih kukuh struk­turnya, namun terbiar seperti ‘rumah hantu’ dan dibimbangi menjadi tempat aktiviti tidak sihat.

“Kuarters ini dulu kami in­gat boleh bantu tarik le­bih ramai guru tinggal dekat kawa­san Kerdau, tidak payah berulang-alik jauh.

“Tetapi sekarang kosong, semak naik dan cat luntur. Orang lalu jalan Temerloh–Jerantut pun boleh nampak jelas yang menimbulkan tanda tanya ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Ketua Kampung Paya Ta­ram, Kerdau, Abdul Raghani Jaafar , 58, berkata, jika tidak digunakan untuk guru, kuarters berkenaan wajar diubah suai untuk disewa kepada kakitangan jabatan lain dengan syarat tertentu.

Menurutnya, isu lambakan KIP kosong sebenarnya bukan perkara baharu, sebaliknya sudah beberapa tahun dibangkitkan malah pernah disentuh di Dewan Rakyat.

“Namun, sehingga kini belum kelihatan tindakan benar-benar tuntas dan menyeluruh diambil pihak berwajib bagi memastikan aset sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya di kawasan luar bandar seperti Kerdau,” katanya.

Beliau bimbang jika keada­an dibiarkan berlarutan, bukan sahaja berlaku pembazir­an wang rakyat akibat aset tidak digunakan, malah risiko kesela­matan juga meningkat apabila kawasan terbiar menjadi tumpuan pencerobohan, vandalisme dan haiwan berbisa.

Penduduk berharap pihak berkaitan turun padang meninjau sendiri keadaan KIP Kerdau dan dapat mencari jalan penyelesaian segera,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×