Lebih 20 lembangan sungai di tiga negeri hampir melimpah

Lebih 20 lembangan sungai di tiga negeri hampir melimpah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terengganu, Kelantan dan Perak berisiko tinggi mengalami banjir monsun susulan amaran hujan berterusan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) turut meramalkan limpahan di lebih 20 lembangan sungai.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, paras sungai di ketiga-tiga ne­geri menunjukkan peningkatan konsisten sejak awal minggu ini ekoran hujan yang dijangka berlarutan sehingga 26 November.

Katanya, keadaan semasa memerlukan perhatian serius kerana faktor taburan hujan dan aliran air hulu sungai menunjukkan pola yang hampir sama seperti permulaan monsun tahun lalu.

“Terengganu menjadi negeri paling awal dijangka terkesan dengan enam daerah berisiko iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu, membabitkan lembangan utama seperti Sungai Besut, Sungai Terengganu, Sungai Nerus, Sungai Dungun dan Sungai Ibai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, aliran air di kawasan hulu Terengganu turut menunjukkan peningkatan berperingkat yang boleh membawa kepada limpahan cepat sekiranya hujan berlaku tanpa henti dalam tempoh 24 jam.

Katanya, di Perak, dua daerah iaitu Kerian dan Hulu Perak dikenal pasti dalam pemantauan ketat, khususnya lembangan Sungai Kurau, Sungai Kerian dan Sungai Perak yang berisiko melimpah lebih awal berban­ding unjuran awal PRABN.

Md. Nasir berkata, kawasan Kerian khususnya dianggap berisiko setiap kali hujan berintensiti tinggi berlaku di kawasan pinggir gunung, menyebabkan paras air naik lebih cepat berbanding sungai lain di negeri itu.

Kelantan pula mencatat enam jajahan berisiko melibatkan Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, Kuala Krai dan Tumpat, dengan lembangan utama seperti Sungai Kelantan, Sungai Semerak, Sungai Lebir dan Sungai Golok menjadi indikator kepada peningkatan risiko banjir.

Menurut PRABN, hujan berterusan di kawasan hulu Gua Musang dan Kuala Krai juga berpotensi menyebabkan pe­ningkatan ketara paras Sungai Kelantan dalam tempoh yang lebih singkat.

Md. Nasir berkata, walaupun pemantauan dilakukan secara berterusan melalui rangkaian sensor dan stesen telemetri seluruh negara, penduduk di kawasan berisiko perlu memahami bahawa perubahan cuaca boleh berlaku secara mendadak.

“PRABN dan JPS telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan di negeri-negeri terlibat, namun kerjasama penduduk untuk mematuhi arahan pihak berkuasa merupakan faktor utama dalam mengurangkan risiko keselamatan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN