MIAMI: Pemain golf Sweden, Linn Grant muncul juara Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA) Annika selepas memiliki kelebihan tiga pukulan untuk mengatasi wakil tuan rumah, Jennifer Kupcho.
Grant menamatkan 72 lubang di resort Belleair, Florida dengan jumlah 19 di bawah 261 sekali gus menjadi rakyat Sweden pertama memenangi kejohanan yang dinamakan sempena legenda LPGA Sweden, Annika Sorenstam.
“Sangat memuaskan. Maksud saya, kami bercakap tentang betapa lengkapnya kitaran ini, bukan sahaja untuk memenangi apa-apa kejohanan tetapi untuk berdiri di sini dan memenangi kejohanan ini,” kata Grant.
Grant meraih satu-satunya gelaran LPGA sebelum ini pada 2023 di Toledo tetapi telah memenangi enam kejohanan di Jelajah Wanita Eropah.
Pemain berusia 26 tahun itu juga menjadi pemenang ke-29 yang berbeza dalam acara LPGA musim ini dan pemain Sweden keempat.
Grant mendahului Kupcho dengan satu pukulan memasuki pusingan akhir dan melakukan birdie di lubang kedua, kelima, ketujuh dan kesembilan untuk melengkapkan pusingan pertama dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi Kupcho, yang melakukan empat birdie dan dua bogey di sembilan lubang pertama.
“Terutamanya pada sembilan lubang pertama, kami saling berbalas-balas. Saya gembira dia bermain dengan baik kerana itu benar-benar mendorong saya bermain lebih baik,” kata Grant. – AFP










