Sheikh Hasina dijatuhi hukum mati

Sheikh Hasina dijatuhi hukum mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Mahkamah Bangladesh pada Isnin menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina atas jenayah terhadap kemanusiaan, dengan sorakan kedengaran di mahkamah yang penuh sesak ketika hakim membacakan keputusan itu.

Hasina, 78, tidak hadir ke mahkamah selepas enggan mematuhi arahan pulang dari India bagi menghadiri perbicaraan mengenai sama ada beliau mengarahkan tindakan keras terhadap pemberontakan pelajar yang membawa kepada penyingkiran beliau.

Keputusan yang amat dinanti-nantikan itu disiarkan secara langsung di televisyen nasional, menjelang pilihan raya pertama sejak beliau digulingkan pada Ogos 2024.

“Semua elemen yang membentuk jenayah terhadap kemanusiaan dipenuhi,” kata Hakim, Golam Mortuza Mozumder kepada mahkamah yang penuh sesak di Dhaka.

Hasina didapati bersalah atas tiga pertuduhan, termasuk hasutan, perintah membunuh dan kegagalan mencegah kekejaman.

“Kami memutuskan untuk menjatuhkan hanya satu hukuman kepadanya iaitu hukuman mati.” kata Mortuza.

Bangladesh melaksanakan hukuman mati melalui hukuman gantung.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal yang juga menjadi buruan turut dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.

Bekas Ketua Polis Chowdhury, Abdullah Al-Mamun yang hadir di mahkamah dan mengaku bersalah, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Hasina yang diberikan peguam lantikan negara untuk perbicaraan itu, menggelar keputusan mahkamah sebagai berat sebelah dan bermotifkan politik melalui kenyataan dari persembunyian di India.

“Keputusan bersalah terhadap saya adalah sesuatu yang dijangka,” kata Hasina.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam tindakan keras ketika Hasina cuba mempertahankan kuasa, kematian yang menjadi fokus perbicaraan beliau.

Ketua Pendakwa Raya, Tajul Islam berkata, sebelum keputusan dibacakan beliau berharap kehendak rakyat terhadap keadilan akan dipenuhi dan keputusan ini akan menandakan berakhirnya jenayah terhadap kemanusiaan.

Pasukan keselamatan mengelilingi mahkamah ketika keputusan itu dibuat, dengan kenderaan perisai ditempatkan di pos kawalan dan ribuan pegawai polis mengawal seluruh ibu negara.

Hasina turut memberi amaran larangan terhadap parti lamanya, Awami League oleh kerajaan interim akan memburukkan krisis politik di negara berpenduduk 170 juta itu menjelang pilihan raya pada Februari depan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN