JEMPOL: Lima lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 47 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini atas pertuduhan mencuri kabel.
Tertuduh, Donny Libang, 47; Rezal Rahim ,36; Mohamad Nazriq Ibrahim,37; Yong Chow Ching, 38; Hairul Azman Arjuna, 23; Nurallina Azmin, 30 dan NorazreenFatiha Azmin,19, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Elizabeth Low hari ini.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan aktiviti mencuri kabel dan bateri, menjual serta melupuskan barang curian di lapan lokasi berbeza di sekitar daerah Jempol pada tahun lalu dan tahun ini.
Sementara itu, Yong Chow Ching turut didakwa atas kesalahan mencuri transformer milik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pertuduhan terhadap mereka dibaca mengikut Seksyen 414 dan Sekyen 379 kanun keseksaan bagi kesalahan mencuri.
Daripada lapan kes berkenaan, hanya tiga pertuduhan melibatkan kesemua tujuh tertuduh, manakala kes lain melibatkan kombinasi suspek yang berbeza.
Yong Chow Ching mempunyai tujuh pertuduhan, manakala Rezal Rahim, Mohamad Nazriq Ibrahim, Yong Chow Ching, Hairul Azman Arjuna dan Nurallina Azmin masing-masing mempunyai enam pertuduhan, Hairul Azman Arjuna lima pertuduhan serta NorazreenFatiha Azmin yang hanya mempunyai empat pertuduhan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda antara RM9,000 hingga RM30,000 kepada semua tertuduh atau penjara jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J. Vesvanathan.-UTUSAN.










