Forest aibkan Liverpool, Slot sedia dipersalahkan

Forest aibkan Liverpool, Slot sedia dipersalahkan

ARNE Slot kini berdepan tekanan susulan kekalahan Liverpool dalam enam perlawanan berturut-turut.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot sedia memikul tanggungjawab penuh selepas anak buahnya diaibkan 0-3 oleh Nottingham Forest di Anfield, sekali gus menyaksikan juara bertahan itu tumbang buat kali keenam dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Forest tampil garang dengan jaringan Murillo, Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White bagi menghadiahkan The Reds kekalahan terbesar di laman sendiri sejak dibelasah 1-4 oleh Manchester City pada 2021.

Dalam era EPL, hanya Chelsea dan West Ham pernah menang dengan jurang tiga gol di Anfield yang juga gelanggang keramat Liverpool.

Slot mengakui taktikalnya gagal berfungsi, sementara perancangan pengurus Forest, Sean Dyche yang memilih pendekatan bertahan kompak dan melakukan serangan balas pantas berjaya merobek kelemahan Liverpool di setiap posisi.

“Seberapa teruk? Ia sangat teruk. Bermain di Anfield dan tewas 3-0 kepada mana-mana pasukan adalah amat memalukan.

“Jika anda bertanggungjawab ketika menang, anda juga harus bertanggungjawab ketika kalah. Tiada alasan untuk keputusan seperti ini,” kata Slot.

Kekalahan memalukan itu menyebabkan Liverpool yang merupakan pasukan berbelanja besar, tersungkur ke tangga ke-11, lapan mata di belakang pendahulu Arsenal.

Lebih membimbangkan, Liverpool kalah lapan daripada 11 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, kemerosotan mendadak berbanding pasukan sama yang menjulang gelaran ke-20 musim lalu.

Perbelanjaan hampir 450 juta pound (RM2.4 bilion) pada musim panas lalu juga masih gagal membuahkan hasil.

Pembelian rekod Britain, Alexander Isak dilihat pelaburan paling merugikan apabila pemain itu belum membuka akaun gol liga, manakala bintang muda Jerman, Florian Wirtz belum mempamerkan impak yang diharapkan.

Slot turut mempertahankan persembahan awal pasukannya dan mendakwa anak buahnya bermula cemerlang namun tuah tidak memihak kepada Liverpool.

“Sudah tentu ada jalan keluar. Melihat kembali kesebelasan utama dan pertukaran pemain, kita tahu ada ruang untuk lebih baik.

“Saya rasa kami tidak pernah mencipta begitu banyak peluang dalam 30 minit pertama musim ini. Sangat sukar apabila anda mensia-siakan peluang sendiri, sementara setiap serangan lawan menghasilkan gol,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN