PETALING JAYA: Isu pemalsuan dokumen pemain warisan terus menggegarkan bola sepak negara apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjalankan dua siasatan dalaman secara menyeluruh bagi membersihkan badan induk itu.
Arahan keras tersebut terkandung dalam ‘motivated decision’ setebal 64 muka surat yang dikeluarkan, semalam sekali gus menandakan bahawa FIFA memandang serius kelemahan tatacara dan pentadbiran dalam sekretariat FAM.
Dalam alasan bertulis itu, FIFA menekankan bahawa peranan sekretariat FAM perlu disiasat segera, memandangkan isu berkenaan bukan sekadar melibatkan kesilapan pentadbiran, tetapi dipercayai membabitkan tindakan terancang yang memberi kelebihan tidak sah kepada pemain tertentu.
Antara perkara utama yang ditekankan ialah arahan supaya FAM mendedahkan dalang sebenar yang memalsukan dokumen tujuh pemain terlibat.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.
“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM.
“Sebagai fokus awal, siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini: Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes. Penglibatan mereka menimbulkan keraguan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh,” kata FIFA.
FIFA turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak terhenti setakat pemalsuan dokumen, sebaliknya turut melibatkan prosiding berkaitan penggunaan pemain tidak layak dalam beberapa aksi persahabatan.
“Selari dengan itu, Jawatankuasa turut mengarahkan Sekretariat untuk memulakan satu siasatan berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini.
“Siasatan ini hendaklah menentukan keadaan yang membolehkan beberapa pemain terlibat, serta sama ada hukuman tambahan perlu dikenakan,” jelas FIFA.
Terdahulu, FAM mengesahkan telah memohon alasan bertulis penuh selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan negara, sekali gus menolak rayuan yang difailkan FAM.
Dengan keputusan itu, FAM diwajibkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (RM 10,000) setiap seorang serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. – UTUSAN










